PERJALANAN MASYAIR KU

PERJALANAN MASYAIR KU
PERJALANAN MASYAIR KU

Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan pelaksanaan Wukuf di Arafah pada tahun 2015 adalah pada hari Rabu, 23 September 2015. Di doakan seluruh rakyat Malaysia khususnya dan umat Islam secara keseluruhannya dapat menjalankan ibadah Haji dengan sesempurna mungkin.

Setiap kali menjelang 9 Zulhijjah, saya dan isteri akan mengenangkan kembali saat indah bagaimana terpilih sebagai tetamu Allah  5 tahun dahulu. Bermula dengan azam untuk mengerjakan haji apabila pulang mengerjakan UMRAH kali pertama pada tahun 2007, kami terus mendaftar Haji pada tahun itu juga. Isteri sayalah orang sangat bersungguh-sungguh mendorong untuk belajar selok belok mengerjakan Haji. Namun pada tahun 2010 ibu saudara saya adalah salah seorang yang membakar semangat kami untuk mengerjakan haji pada usia muda. Masih teringat kata-kata beliau,

” Hampa nak tunggu apa lagi?, Duit ada pi lah haji dengan pakej kalau nak tunggu giliran nanti lambat pulak.”

Beliau bersungguh-sungguh mendorong kami kerana beliau baru bergelar HAJJAH pada tahun 2009. Bertekad dengan semangat itu kami mendaftar PAKEJ HAJI dengan seorang sahabat saya Allayarham Asmawi Ahmad, travel agensi Asari Murni. (Al-fatihah semoga Haji Asmawi ditempatkan di kalangan insan terpilih)

Janji Allah Itu Pasti

Sambil menunggu jawapan dari “Travel Agency”, kami istiqomah mengikuti Khusus Haji anjuran Tabung Haji bagi bakal Jemaah yang telah terpilih untuk mengerjakan haji pada tahun tersebut. Kursus Haji ni setiap minggu, hari Sabtu, kalau tak pergi rasa rugilah pula sebab Masjid dengan rumah lebih kurang 500 meter, Ustaz yang mengajar pula yang terbaik. Di kalangan jemaah yang menghadiri kursus tersebut kenal saya dan isteri dan mereka beranggapan kami ini samalah dengan mereka dah confirm dapat panggilan.

Entah mengapa hati kami sangat yakin dapat pergi pada tahun 2010 dan sehinggalah kami mendapat khabar berita gembira daripada Tabung Haji. “Anda telah terpilih untuk mengerjakan haji dengan pakej Muasasah” Subhanallah…Bila bertanya orang pelbagai pendapat diberikan, ada kata Muasasah ni boleh dipanggil Maha Susah sebab ianya pakej subsidi tak sama dengan pakej berbayar mahal ni. Berserahlah kepada Allah hanya kepadanyalah tempat mengadu segalanya. Kami memohon petunjuk dari Allah dan kami telah memilih untuk bersama Muasasah.

Memulakan Perjalanan

Setibanya di bumi Mekah dengan penerbangan KT51 dan ditempatkan di Maktab 79, saya mendorong isteri agar mendaftarkan diri sebagai Sahabat Tabung Haji. Sahabat Tabung Haji ini adalah petugas sukarelawan yang akan membantu TH dalam pengurusan jemaah untuk maktab masing-masing. Pada mulanya isteri agak keberatan namun akur kerana kehendak saya.

Isteri saya ditempatkan di bilik seramai (4) empat orang dan saya (6) enam sebilik. Salah seorang penghuni bilik isteri saya tidak hadir sejak dari hari pertama lagi kerana khabarnya beliau telah berpindah ke Maktab lain dan isteri saya menginap dengan anak beranak yang datang ke Mekah bersama seorang lagi mahram lelaki. Takdir Allah mahram mereka sakit tenat dan TH memutuskan untuk anak beranak ini menghuni bilik yang lain demi menjaga mahram mereka yang sakit tersebut. Dua hari isteri saya menghuni bilik tersebut keseorangan dan setelah berbincang dengan TH saya dibenarkan untuk menemani isteri. Subhanallah sepanjang berada di bumi Mekah kami menghuni bilik 308 berdua sahaja bagaikan mendapat anugerah dengan PAKEJ termahal.

Menjaga Jemaah Tua dan Uzur

Sebagai Sahabat TH kami di amanahkan untuk menjaga jemaah tua dan sakit.

Facebook Comments

0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *