RESTU EMAK DAN ABAH

RESTU EMAK DAN ABAH

Assalamualaikum…

Semalam saya sibuk menghadiri beberapa majlis yang melibat syarikat Al-Meswak Mu’min Sdn Bhd. Perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan terus menghadiri beberapa majlis rasmi masih terasa kepenatannya. Tapi itu semua adalah tanggungjawab yang perlu saya pikul demi memastikan aktiviti menaikkan nama syarikat berjalan lancar.

Entah mengapa seharian hari ini asyik teringatkan wajah emak. Sudah lima (5) tahun emak terlantar lumpuh. Cepat betul masa berlalu. Emak seorang peramah, periang dan sangat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan. Allah memberikan dugaan kepada kami sekeluarga, terutama kepada Abah yang sangat setia menjaga emak. Begitu juga adik saya yang bongsu merupakan seorang graduan UUM, telah mengorbankan kerjayanya untuk berbakti kepada emak.

Menyingkap kenangan saya bersama emak, beliau selalu berpesan kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh untuk dan menjadi orang yang berguna kepada Agama dan Bangsa. Memandangkan saya anak pertama dalam keluarga, beliau juga selalu berpesan kepada saya untuk menjaga Ukhwah dengan adik-adik.

Terkenang semasa saya hendak mengerjakan Umrah pada tahun 2007, emak dan abah menghantar saya ke Lapangan Terbang, Bayan Lepas, bercucuran air mata saya memohon ampun dan maaf di atas segala dosa saya terhadap beliau. ” Emak, halalkan makan dan minum saya. Emak halalkan susu yang pernah mengenyangkan saya” pinta saya. “Emak halalkan segalanya ke atas kamu” balas beliau. Ketika itu emak sudah menggunakan kerusi roda, tetapi masih mempunyai kudrat untuk turut serta ke lapangan terbang.

Teringat juga saya semasa saya membersihkan tubuh emak, walaupun tidak selalu saya lakukannya tetapi menitis air mata saya bila keluar kalam dari mulut emak saya…”Syurgalah tempat kamu anakku….”

Ya Allah kau berilah kekuatan kepada kami…

Siapalah kita kalau bukan restu Ibu dan Ayah untuk kita mencapai kejayaan di dunia ini.

Semasa menyampaikan ceramah kerjaya di Universiti Malaya kepada para pelajar Kolej Kediaman Kesembilan, saya berpesan kepada pelajar-pelajar, ingatlah kejayaan kita pada hari ini bukanlah hasil usaha kita sema-mata, ianya juga adalah hasil doa IBU dan AYAH kita dan dengan keredoan merekalah ALLAH memakbulkannya.

Emak dan Abah…Terima kasih kerana membesarkan saya. Terima Kasih kerana mendoakan saya. Kalau kalau disusun wang berjuta masih tidak dapat saya bayar apa yang telah emak dan abah lakukan kepada saya. Jika dihimpunkan masa untuk berbakti kepada emak dan abah pun belum layak untuk saya membalas segalanya.

Pencapaian saya pada hari ini hasil doa kalian sekelian.

Ya Allah kau tempatkanlah emak dan abah di kalangan orang-orang yang beriman.

 

Wasalam….

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *